Sunday, May 08, 2011

Kisah Tikus dan Kucing


Dalam satu rumah, ada satu masyarakat tikus, dan ada seekor kucing garang. Jadi banyaklah tikus yang menjadi mangsa kucing ini, lalu tidak tahan dengan keadaan ini, ketua tikus memanggil mesyuarat.

"Masalah kucing ini kita mesti selesaikan, dengan segera!" kata ketua tikus. "Minta pandangan dan cadangan dari kamu semua,"

Lalu seekor tikus bijak tampil kehadapan dan berkata, "Tuan, kita ikat loceng pada kucing!". Semua tikus terkejut dan mula berspekulasi. Namun dengan yakinnya dia naik ke rostrum dan mula bersiap untuk pembentangan cadangan.

Pembantu tikus bijak tampil kehadapan dengan kertas kerja, siap dengan plan lukisan dan belanjawan.

Lalu dibentangkan dalam Powerpoint kelebihan dan keistimewaan loceng, bagaimana "return of investment", faedah kepada masyarakat tikus, berlatarbelakangkan lagu berentak semangat dan patriotik. Seluruh kaum tikus kagum dan tidak berkelip menonton tikus bijak. Tamat sahaja persembahan, dia disambut dengan sorak sorai dari semua kaum tikus.

"Kita namakan projek ini Loceng Si Tompok!" kata ketua tikus dan disambut sorak sorai seluruh masyarakat tikus.

Tikus bijak pun menghantar spesifikasi loceng, saiznya, standard ASTM nya, ujian kekukuhan dan radius bunyi dan metalurgi loceng yang diperlukan. Pembantunya turut menyediakan cara pemasangan (Method Statement), kaedah amalan terbaik (Best Practice) dan juga prosedur keselamatan besertakan standard operasi prosedur.

Lukisan dan model 3d dipamerkan di ruang legar, semua masyarakat tikus menyaksikan dan memberi komentar. Video simulasi pun turut dipaparkan untuk kefahaman tikus-tikus semua. Masyarakat tikus memberikan sambutan hangat terhadap projek ini.

Ketua tikus amat berpuas hati dengan perjalanan projek ini. Dia yakin akan dipileh lagi untuk undian akan datang.

Kemudian tibalah masanya, lalu ketua tikus bertanyakan kepada tikus bijak,

"Siapa yang akan pasang loceng itu?"

Tikus bijak dan pembantunya saling pandang memandang, "Err.. tuan, kami cuma buat perancangan dan rekabentuk saja, kami tak berani nak memasangnya,"

"Ya tuan, lagipun saya ada 17 anak kecil masih belum bersekolah, kalau saya tiada, siapa akan menyara mereka nanti?"

"Lagipun tuan, tiada syarikat insuran nak cover untuk kerja merbahaya ini, rugi kalau cedera, apatah lagi mati,"

Ketua tikus menepuk dahi, di luar pejabatnya semua kaum tikus menanti pelancaran projek ini. Tekanan makin memuncak. Mencanak misainya kerana marahkan tikus bijak dan pembantunya.

Kemudian dia nampak iklan 'tikus dari seberang, upah murah, passpor bisa diatur'....

No comments:

Pages - Menu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...