Saturday, August 19, 2006

Sayang betul

apabila terbaca suratnya dalam internet.aku terpikir,setakat ni sajakah perjuangan diorang? mahasiswa sendiri tunggang langgang, kita dok sibuk pasal artis nak kawen. perkara yang tak perlu tak payah la kita beriya sangat. seperti istilah seni "less is more".

pentingkan siasah nak selesaikan mahasiswa yang jadi mahapenganggur! mereka bukannya tidak berguna langsung,kalau tidak masakan layak belajar dan bergraduasi, tetapi mereka perlukan satu pecutan tenaga seperti hendak mengujakan elektron dalam unsur untuk dijadikan sebatian. mereka ini unsur..sayang sekali tidak dijadikan sebatian. ataupun digunakan untuk perkara yang tidak sepatutnya..

seperti menggunakan emas untuk dibuat penyodok..

1 comment:

Faisal Nordin said...

Surat Terbuka Gamis Untuk Siti Nurhaliza

Oleh Mohammad Haniff Baderun


RENTAK dunia hiburan sememangnya sukar diramalkan. Realitinya tidak sama seperti lirik lagu yang dialunkan mahupun gerak laku yang dilakonkan. Ada manisnya namun bukan sedikit pengorbanan yang dituntut.

Sebagai orang luar dari bidang ini, saya berpendapat jatuh bangun seseorang artis dalam dunia ini banyak bergantung pada jati diri yang dilengkapi dengan kriteria-kriteria tertentu seperti bakat, komitmen, prinsip, dan sebagainya.

Baru-baru ini kita digemparkan dengan pengumuman penyanyi nombor satu Negara, Siti Nurhaliza bahawa beliau akan mengakhiri zaman bujangnya bersama Dato' Khalid Mohamed Jiwa (Dato' K) dalam tempoh terdekat.

Berita ini dengan lekas hangat diperbualkan dan mendapat liputan media berikutan isu yang membabitkan seorang artis popular tanah air iaitu Siti Nurhaliza.

Walaupun ramai peminat yang memberi pandangan dan komentar berhubung pengumuman Siti itu, saya berpandangan soal penentuan jodoh adalah berkaitan hati Siti sendiri dan terlalu peribadi untuk disentuh.

Namun, kebimbangan dan kerisauan peminat itu kadang-kadang ada asasnya yang patut turut mendapat perhatian daripada Siti. Setidak-tidaknya Siti telah menunjukkan komitmen terhadap kehidupan berumahtangga yang dipandang enteng dan ringan oleh segelintir artis lain.

Di sini, saya ingin merakamkan ucapan tahniah di atas pengumuman perkahwinan Siti itu dan saya mendoakan kebahagiaan berkekalan menjadi milik pasangan Siti dan Dato' K.

Mengimbau kembali liku-liku di awal pembabitan Siti dalam dunia seni suatu ketika dahulu. Bermula dengan kejayaan Siti muncul juara dalam Bintang RTM 1997, semua pencinta seni sudah menduga dengan potensi dan bakat semulajadi yang ada pada diri Siti, Siti mampu menjadi bintang yang membawa sinar baru dalam dunia hiburan.

Ternyata Siti telah membuktikannya hari ini. Sebagai artis junior di awal pembabitan dulu, Siti dilihat seorang yang sangat menghargai pengalaman artis-artis yang lebih senior dan sentiasa mahukan tunjuk ajar dan berbincang untuk mencungkil rahsia di sebalik kejayaan mereka.

Di samping bakat dan keterampilan diri yang perlu kepada seseorang artis, Siti juga dilihat antara artis yang bijak memberi nilai-nilai tambah kepada dirinya.

Dengan nilai-nilai tambah ini, Siti memiliki keunikan dan daya tarikannya yang tersendiri. Sikap Siti yang tegar dengan prinsip dan pendirian peribadi yang diambil membuatkan peminat terpaksa akur dengan kehendak dan kemahuan Siti itu.

Beberapa pendirian yang menjadi prinsip Siti itu dilihat bertujuan memelihara batasan agama dan tatasusila adat serta budaya. Betapa sesiapa pun akan menyanjung dan menghormati seseorang hanya kerna dia berpegang dengan pendirian dan prinsip yang benar.

Peminat tidak sedikit pun berganjak atau berkurangan meskipun berhadapan dengan karenah itu. Bahkan peminat lebih mengkagumi dan menghormati Siti kerana keteguhannya berpegang dengan pendiriannya.

Persada seni tanah air terus manyaksikan kejayaan demi kejayaan dilakar oleh Siti sehingga melonjak nama Siti di kedudukan sekarang.

Biarpun dikelilingi ramai peminat dan terpaksa memenuhi jadual program yang padat namun, ianya tidak menghalang Siti dari merealisasikan impiannya untuk melakukan kerja-kerja amal dan mendampingi masyarakat.

Siti dikenali seorang yang tidak lokek untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada golongan yang memerlukan termasuklah golongan kurang upaya, ibu tunggal, anak yatim, dan warga emas.

Siti juga sedia melakukan persembahan amal secara percuma bagi tujuan kebajikan dan mengumpul dana.

Siti tanpa segan silu akan sedia berkongsi suka dan duka mengenai kehidupan peribadi selagi ia positif untuk dijadikan teladan kepada masyarakat.

Penonjolan sikap Siti yang menitikberatkan keintiman hubungan kekeluargaan melengkapkan personaliti diri Siti untuk dicontohi oleh segenap lapisan masyarakat. Watak seorang anak yang taat kepada kedua orang tuanya serta memelihara hubungan persaudaraan juga wujud dalam karektor Siti.

Dengan senyuman yang tidak pernah lekang di bibir serta keramahan Siti menyapa menyegarkan sesiapa saja yang cuba berinterkasi dan berbicara dengannya.

Tak siapa yang dapat melupakan memori manis ini tatkala terpandang kelembutan dan keayuan wajah Siti mengenakan tudung di kepala dalam satu persembahan bersama kumpulan nasyid, Raihan beberapa tahun lalu.

Begitu juga saya. Biarpun penampilan begitu mengundang sedikit kontroversi namun, apabila media menyoal balas bagaimana Siti boleh tampil berkeadaan begini. Dengan tenang dan penuh optimis Siti menjelaskan bahawa suatu ketika nanti Siti pasti akan mengekalkan cara pakaian sebegitu.

Inilah janji yang ingin saya tagih daripada Siti. Bila ketikanya Siti akan mengotakan janji itu. Saya mendoakan Siti terus diberi hidayah dan setiap langkah Siti diringi keredhaan Ilahi. Aspek keagamaan dan tatasusila budaya wajar terus dititikberatkan oleh Siti.

Bintang Siti terus menyinar dan bergemerlapan di persada seni tanah air. Sumbangan Siti dalam industri hiburan tanah air selama ini tidak boleh diperkecilkan. Bahkan kehilangan Siti pasti meninggalkan kesan yang mendalam kepada dunia seni.

Beberapa aspek positif yang diketengahkan hasil penampilan Siti menjadikan harapan besar dipertaruhkan buat Siti. Tidak dinafikan bahawa Siti kini telah menjadi ikon budaya dan dunia hiburan tanah air.

Tidak sedikit yang mengkagumi dan meniru gerak laku Siti, memberi imej yang positif dan teladan yang baik kepada masyarakat terutamanya golongan remaja merupakan cabaran buat Siti.

Dunia hiburan hari ini juga memerlukan nafas baru daripada artis-artis yang aktif di persada seni. Masyarakat harus dapat memanfaatkan sesuatu yang lebih bernilai dan bermakna daripada penonjolan artis-artis.

Bukan sekadar hiburan kosong disajikan yang keasyikannya seketika. Kemudian, ianya pergi bagai angin lalu dan jiwa manusia kembali sepi dan gersang. Kegersangan dan kesepian itu dengan segera minta diisi lagi.

Hasilnya, masyarakat hanya menjadi peminat yang fanatik, penonton yang setia, dan pengkagum yang naif terhadap artis pujaan masing-masing tanpa memperolehi sesuatu yang boleh diteladani dan intipati yang dapat dijadikan iktibar dalam kehidupan.

Aspek-aspek positif daripada penampilan Siti harus turut dapat dikongsi secara bersama oleh artis-artis lain juga. Hanya dengan cara ini kita dapat memberi sedikit nilai dan maruah kepada industri hiburan tanah air.

Saya juga ingin mengambil kesempatan menyampaikan pesanan kepada Siti yang bakal mengakhiri zaman bujangnya tidak lama lagi. Perkahwinan dalam Islam memang mudah tetapi tidak boleh dipermudah-mudahkan.

Tahun ini sambutan bak perayaan meraikan perkahwinan Siti dan Dato' K. Setelah tiga tahun berlalu perkahwinan yang pernah diraikan secara besar-besaran bagai tidak tidak dihargai dengan berita-berita yang boleh menggoncang rumahtangga.

Pasangan Siti dan Dato' K wajar mengambil pengajaran kisah rakan-rakan artis yang begitu. Ternyata kes sebegini meninggalkan imej yang negatif terhadap golongan artis.

Siti juga perlu bersiap sedia untuk mengimbangi komitmen antara keluarga dan industri hiburan.

Lebih-lebih lagi melalui perkahwinan ini Siti sekaligus bergelar ibu kepada anak-anak yang sedang meningkat remaja. Mereka memerlukan perhatian dan bimbingan daripada Siti. Akhir kalam, salam perjuangan buat Siti dan Dato' K.


Haniff bin Baderun
Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis)

Pages - Menu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...