Tuesday, January 11, 2005

Melayu

Puisi karya Allahyarham Usman Awang...

Melayu

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasannya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di mulut
Selalu pecah di perut
Biar mati anak jangan mati adat

Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu
Minangkabau memang Melayu
Keturunan Acheh memang Melayu
Jakun dan Sakai Asli juga Melayu
Arab dan Pakistan semua Melayu
Mamak dan Malbai serap ke Melayu

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri

Berkelahi cara Melayu
Menerkam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan menyombong

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap sentiasa bersahut
Tangan dihulur sentiasa bersambut
Luka pun tak lagi berparut

Baiknya hati Melayu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup dibiarkan
Sehingga terciptalah sebuah kiasan
“Pedagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran.”

Bagaimanakah Melayu abad 21
Masihkah tunduk tersipu-sipu
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin pada kebenaran
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya pada keadilan
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali dan memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara merdeka.

USMAN AWANG
1999

No comments:

Pages - Menu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...