Tuesday, December 01, 2009

Jejak-Jejak di Pantai Zaman, sebuah buku yang juga tanda penghormatan kepada Pendeta Za'aba oleh Ungku A. Aziz

dipetik dari nota Facebook Ariyatna Adri

Terlalu ingin berkongsi buku ini dengan teman-teman lain kerana takut tulisan ini hilang begitu sahaja ditelan zaman mendatang. Ungku A. Aziz telah menulis buku ini dan menitipkan rencana Pendeta Za'ba. Rencana yang menyebabkan Pendeta Za'ba diberi perhatian 'istimewa' oleh British.

Pak Za'ba tidak pernah dikenali sebagai seorang yang ahli dalam ekonomi orang Melayu. Dia hanya dikenali sebagai Pendeta Bahasa dan Sastera. Tetapi sebenarnya Pak Za'ba, pada tahun 1924 pernah menulis rencana perihal ekonomi orang Melayu dan dasar yang boleh membantu membaiki kemiskinan orang Melayu. Malang bagi Pak Za'ba apabila menulis rencana itu, dia kemudiannya didatangi pegawai pengintip British, kenaikan gajinya juga dihentikan selama setahun dan dipindahkan ke jawatan yang dihadkan kepada kerja-kerja menterjemah sahaja, bukan mengajar supaya pengaruhnya dapat dikawal. "Rawatan istimewa" pemerintahan British dikelolakan oleh Mr. Hamilton dan seorang tali barut Melayu sentiasa melawat Pak Za'ba bagi memperbaharui 'rawatan'.

Tulisan Pendeta Za'aba telah dialihbahasa Melayu pada tahun 1927 bertajuk Kemiskinan Orang Melayu dan Jalan Keselamatan Bagi Orang Melayu di dalam Al-Ikhwan.

Kemiskinan Orang Melayu

Pendeta Za'ba sangat gusar melihat kemiskinan Orang Melayu. Miskinnya pada wang ringit, harta benda, cita-cita, pelajaran, latihan, sifat yang tinggi mulia, pada tumbuh dan subur hatinya, karya-karya yang mengangkatkan perasaan, tulisan yang meninggikan fikiran, asuhan yang sempurna dan keelokan perangai serta roh agamanya. Orang muda-muda leka membuang masa dengan kesukaan yang sia-sia (rasanya masa kini masih tak berubah), orang tua-tuanya pula terpasung dengan kepercayaan bodoh dan bukan-bukan akan hantu syaitan dan jin(rasanya juga tak berubah). Pendeta Za'ba memberi pandangan 360 darjah tentang kemiskinan bangsa Melayu.

Pendeta Za'ba menerangkan sebab yang menjadikan orang Melayu miskin.

1. Keadaan agama Islamnya dan kepercayaannya telah jatuh rendah daripada ketunggalan dan kebersihannya yang asli;

2. Beratus tahun kehidupan orang Melayu di bawah perabdian pemerintahan-pemerintah dari bangsanya sendiri. Hidup penuh kesempitan, azab sengsara, dan kebuasan yang tiada terderitakan (roh agama Islam jauh daripada jiwa pemerintah). Oleh itu, orang melayu memerlukan latihan khas bagi melawani latihan pesaka (perabdian) itu.

3. Tanah Melayu ini mewah dan subur. Orang Melayu tiada rajin dan tiada cekap bekerja melumbai bangsa-bangsa lain kerana negeri ini mewah dengan serba jenis makanan yang boleh dapat dengan tiada susah payah atau sedikit usaha sahaja.

4. Tiada berpengetahuan darihal apa yang hendak dibuat, bagaimana membuat, dan sebab apa dibuat dan tidak pula tajam tentang hal perniagaan dan jalan perusahaan mencari duit.

Pendeta Za'ba menjelaskan jalan yang patut diusahakan oleh orang Melayu bagi membaiki kemiskinan itu sebahagian dalam rencana Kemiskinan orang Melayu dan sebahagiannya disambung dalam rencana Jalan Keselamatan bagi orang Melayu.

Jalan Keselamatan bagi orang Melayu.

1. Dengan diubati penyakit pengetahuan dan kemiskinan pelajaran dengan diberi pelajaran daripada jenis yang betul dan munasabah seperti latihan perniagaan daripada orang Cina(praktikal);

2. Latihan khas bagi melawani latihan pesaka (perabdian)itu menjadi orang yang menolong diri sendiri dan bergantung kepada diri sendiri (kemerdekaan diri) dengan menyediakan jalan membaca kitab-kitab yang memesrakan dalam hati akan fikiran-fikiran yang baru dan pengetahuan yang meluaskan lingkungan 'kaki langit'yang tampak oleh hati seseorang itu serta mengubahkan sifat-sifat keadaan dirinya.

3. Bekerja bersama-sama dalam pergerakan, bangkit bersatu mengumpulkan wang sesama sendiri (persatuan dan koperasi), dan 'memberi pelajaran' dijadikan pedoman , nyawa dan asas umbi pergerakan itu.

4. Bekerja bersama-sama dalam pergerakan mengumpulkan wang kutipan antara sesama sendiri bagi mengadakan biasiswa dan menghantar anak-anak muda belajar mengikut kecenderungannya dalam ilmu bahasa, penulisan, sejarah, falak, falsafah, agama, kejuruteraan, elektrik, jentera, enjin, membuat barang, membuat ramuan, ilmu perniagaan, ekonomi, berkebunan, penternakan, ilmu perhutanan, perlombongan, perikanan, veterinar, perundangan dan perubatan dan sebagainya.

5. Memberatkan kepada usaha berniaga dan perusahaan hasil-hasil tanah, pertanian, penternakan dan perikanan;

6. Mentadbirkan wang dengan tulus hati, amanah, kesungguhan cita-cita, kasihkan kaum dan gemarkan faedah ramai.

7. Bersiap sedia jika tidak berjaya, tidak takut dan gentar kepada kerugian, terus mencuba dan mencuba lagi sekiranya gagal.

8. Kepada orang melayu yang sebenarnya bersungguh-sungguh hendak menghasilkan jalan keselamatan bagi kaum Melayu ini, hendaklah jangan gentar walau bagaimana besar dan susahnya pekerjaan itu tidaklah mustahil disempurnakan jika bersatu.

9. Hendaklah mengeluarkan titik peluh sendiri, jalankan akal ikhtiar, gunakan sehabis daya upaya dengan tegas, tekun dan bersungguh-sungguh."Kita diberi balasan hanya sukat sebanyak yang kita usahakan sahaja".

10. Menubuhkan pergerakan atau persatuan penulisan, karya dan buku. Melengkapkan bilik-bilik membaca dan mutalaah dengan buku-buku yang boleh memberi pelajaran, asuhan dan mengangkatkan hati kepada perasaan-perasaan yang tinggi dan luas. Persatuan ini hendaklah mengadakan pertemuan, membahaskan ilmu-ilmu dan membiasakan ahlinya bercakap di tengah majlis. Selain itu, menterjemahkan buku-buku bahasa lain ke bahasa Melayu untuk faedah bangsa Melayu dan memberi hadiah tahunan kepada pengarang yang baik sekali karyanya bagi menggalakkan dan memberangsangkan hati hendak mengarang.

11. Wajib kepada orang muda-muda yang selama ini tiada ambil peduli atau asyik kegilaan mencari kesukaan untuk bersatu hati dengan wasitah persatuan.

Pendeta Za'ba melihat dan memahami hati budi perilaku bangsa Melayu. Dia seorang pemikir Melayu yang pertama menuliskan tentang masalah ekonomi orang Melayu. Dia memikirkan Jalan Keselmatan Orang Melayu. Tetapi jalan itu tidak dapat dikongsikan dan diperluaskan kepada anak bangsanya secara meluas dan hebat tatkala itu.

Terima kasih Ungku A.Aziz yang menyampaikan cebisan tulisan Pendeta Za'ba yang bakal hilang dari zaman jika tidak dituliskan dalam buku ini.

Salam dari saya yang teramat melonjak hati ingin mengongsikan permata yang saya temui ini.

No comments:

Pages - Menu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...