Sunday, December 23, 2007

Tong Air

"Bang! Kami datang nak hantar air ni" tiba-tiba seorang pemuda umur lingkungan 20-an menegur aku. Macam biasa dengan muka serius (dan tengah pening depan PC) aku lencongkan kepada kerani.

"Tong air kosong ada kat belakang, lepas hantar baru boleh sain," kerani pun mengarah, dengan nada serius juga. Untuk menjaga kredibilitnya sebagai satu-satunya wanita di tapak bina.

"Tapi kami nak ikut tangga kayu tu boleh tak?" tanya pemuda itu kembali. Aku mengerutkan dahi. Kerani lantas bertanya, "Apa pasal pulak? Tangga tu dah reput, ikut je la tangga konkrit yang dah siap tu,"

"Tak mau la, situ busuk, bau kencing la taik la," jawab rakan pemuda itu dengan slang utara dan sedikit campuran egonya.

Aku mula memutarkan ingatan, seingat aku tadi, takde pun bau-bau yang dikatakan, takkanlah dalam 2jam terang benderang ada orang melepaskan hajat di tangga. Itu namanya membuang air dalam periuk nasi sendiri kerna jika didapati qada' hajat merata-rata, dia akan dihalau dari tapak dan keputusannya adalah muktamad!

"Kalau kamu ikut situ, nanti jatuh ke roboh ke, sapa nak jawab?" tanya aku.

"Kalau tak mau, kami letak kat tepi lori je la, abang angkat sendiri!" jawabnya kembali, secara langsung menderaukan darah unikorn apiku, namun mengenangkan baby di rumah toknya, hati kembali tenang.

Kami berbincang sesama sendiri. Keputusan telah dibuat.

"OK, kamu letak di tepi lori, kami guna kongsikong kami angkat sendiri. Tapi ini kali terakhir, lepas ini kami tak mau amik air dengan kamu," kata kerani dengan nada ala-ala polisnita Gerak Khas.

"Kami tak kisah pun nak amik ke tanak, janji kami hantar sudahlah," maka berlalulah dua pemuda itu. Kongsikong a.k.a general workers pun menuruti pemuda itu untuk memikul tong air ke pejabat.

"Hah, Masdur! Ada bau busuk kat tepi tangga tadi?" tanya aku dengan nada Son Goku menegur Bezita. Masdur merupakan Kongsikong yang sudah mencurahkan khidmatnya selama 10 tahun, telefon Nokia N-seriesnya membuktikan khidmatnya yang panjang itu.

"Mana ada bos, cuma bau simen saja, tempat itukan baru diplaster bawahnya," jawab Masdur, dengan tekunnya menyusun tong air dalam pejabat.

Betul kata orang. Orang kita meletakkan nilai dirinya terlalu tinggi. Hinggakan bau simen pun tidak tahan, di kata bau najis.

Macamana indon dan bangla tak kaya di bumi kita sendiri. Orang kita merempat jadi kuli sehingga kini.
Post a Comment

Pages - Menu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...