Saturday, May 12, 2007

Know what u dont know

Lepas habis meeting petang, hero dan bos duduk di tepi platform sambil sebelah kaki di atas papak konkrit. Mata melayan pemandangan tapak projek yang tenang. Semuanya pulang ke pangkuan keluarga masing-masing setelah penat berjuang dengan panas, debu dan lelah.

Bos memulakan bicara, tangannya disilangkan ke belakang, seperti seorang guru kung fu lagaknya.
"Awak tahu apa yang paling bermasalah pada orang baru bekerja?"
"Tiada pengalaman?"
"Bukan"
"Tiada ketahanan?"
"Bukan"
"Tiada cita-cita?"
"Sipi"
"Letih la bos," hero mengalah, dia sememangnya tidak gemar permainan teka teki berunsur falsafah.

Bos tergelak kecil, lalu menyambung bicaranya.
"Mereka tidak tahu apa yang mereka tidak tahu,"
"Maksud bos?"
"Bezanya kamu dengan budak baru kerja, kamu tahu apa yang kamu tidak tahu," bos mengetuk-ngetuk dinding konkrit, "maka kamu akan mula mencari jalan, walaupun kamu sesat seperti di dalam hutan rimba, namun kamu tetap berusaha untuk mencari jalan,"

Hero memandang ke arah jentera yang sudah tidak bergerak. Pada siangnya ia amat gagah lagaknya membantai tanah dan mengorek isinya. Petangnya ia seolah-olah tidak bernyawa. Mati.

"Manakala orang yang baru bekerja, ataupun tiada niat untuk memajukan diri tidak akan tahu apa yang dia tidak tahu," sambung bos lagi.

"Dia akan tinggal dalam kegelapan, dia berasa selesa dengan tidak tahu apa-apa. Akhirnya dia akan mati dalam kegelapan, sedangkan potensi kejayaan hanyalah dalam capaiannya."

Sunyi. Hening. Cuma kedengaran bunyi angin sepoi-sepoi bahasa.

"Ingat pesan ini, bos saya yang ajar saya. Dan hari ini saya ajar kamu pula," bos terus berlalu meninggalkan hero. Hero membiarkan bos berlalu. Matanya terus merenung pemandangan luas di depannya.
Post a Comment

Pages - Menu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...